Maha
suci Allah yang telah mengurniakan kelebihan kepada para hambanya dalam
bulan-bulan tertentu. Maka kelebihan yang dikurniakan itu mestilah direbut,
dalam usaha untuk kita meningkatkan kesungguhan dalam beramal. Sepertimana
kelebihan dan kemuliaan pada bulan Rejab yang telahpun berlalu, kini kita
berada di bulan Sya’ban yang Allah berikan kelebihan dan kemuliaan yang amat
bermakna bagi hambanya yang ikhlas.
Bulan
Sya’ban adalah bulan diangkatnya amal-amal perbuatan di sisi Allah. Pada bulan
Sya’ban juga adalah bulan yang padanya Rasulullah Saw memperbanyakkan ibadah
puasa sunnah berbanding bulan-bulan selainnya. Usamah B. Zaid pernah bertanya
kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku
tidak pernah melihat engkau berpuasa pada suatu bulan sebagaimana engkau
berpuasa pada bulan Sya’ban?” Rasulullah menjawab: “Sya’ban adalah bulan yang
terletak di antara Rejab dan Ramadhan yang sering dilupakan oleh manusia. Ia
adalah bulan yang di dalamnya amal-amal perbuatan akan diangkat ke sisi Tuhan
semesta alam. Maka aku lebih suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku
sedang berpuasa.” (Hadis Sahih Riwayat
Ahmad, 85/36, no. 21753. An-Nasaa’i, 8/59, no. 2317.)
Dalam satu riwayat yang lain ‘Aisyah Radiallahu
a’nha pernah mengkhabarkan dengan katanya: “Aku
tidak pernah mengetahui Rasulullah Saw berpuasa sebulan penuh melainkan pada
bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah mengetahui beliau lebih banyak berpuasa
sunnah selain dari bulan Sya’ban.” (Hadis
Riwayat al-Bukhari, 7/78, no. 1833)
Melalui hadis yang disebutkan diatas, dapatlah
diambil hikmah dan faedah iaitu dengan memperbanyakkan puasa di bulan Sya’ban adalah
sebagai salah satu bentuk persiapan bagi kita sebelum memasuki bulan Ramadhan,
iaitu bulan yang padanya umat Islam akan menunaikan keawajiban berpuasa selama
sebulan penuh. Justeru, dengan membiasakan diri berpuasa sunnah di bulan
Sya’ban mampu menjadikan tubuh badan merasa ringan untuk berpuasa penuh di
bulan Ramadhan.
Malam Nisfu Sya’ban
Apabila
memperkatakan tentang bulan Sya’ban juga, maka sudah tentu tarikh 15 Sya’ban
atau lebih dikenali sebagai Nisfu Sya’ban akan ditunggu-tunggu oleh kebanyakan
umat Islam. Ini kerana pada malam Nisfu Sya’ban dianggap sebagai satu malam
yang memiliki kemuliaan. Terdapat satu
hadis yang memperkatakan tentang malam Nisfu Syaaban, iaitu riwayat
yang diterima daripada Mu’az bin Jabal r.a yang berbunyi:
"Allah memerhatikan kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Sya’ban lalu Dia memberi keampunan kepada semua makhluk-Nya kecuali orang musyrik dan orang yang suka bergaduh." – (Hadis riwayat Ibn Abu ‘Ashim di dalam Kitab al-Sunnah, Ibn Hibban di dalam Sahihnya dan al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid.)
"Allah memerhatikan kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Sya’ban lalu Dia memberi keampunan kepada semua makhluk-Nya kecuali orang musyrik dan orang yang suka bergaduh." – (Hadis riwayat Ibn Abu ‘Ashim di dalam Kitab al-Sunnah, Ibn Hibban di dalam Sahihnya dan al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid.)
Dalam
hadis ini dapatlah difahami bahawa sekiranya kita ingin termasuk dalam golongan
orang yang diberi keampunan oleh Allah pada malam Nisfu Sya’ban maka kita
hendaklah menjauhi perbuatan syirik dan suka bergaduh.
Namun
demikian menganjurkan ataupun mengkhususkan amalan-amalan tertentu pada malam
Nisfu Sya’ban, tidaklah disebut secara khusus dalam hadis nabi. Menurut Dr.
Yusuf al-Qaradawi: "Tidak pernah
diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di
masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca doa tertentu dan
mendirikan solat tertentu seperti yang kita lihat di sesetengah negara umat
Islam. Bahkan di sesetengah negara, orang ramai berhimpun pada malam itu
selepas solat Maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yassin dan mendirikan
solat 2 rakaat dengan niat panjang umur dan dua rakaat yang lain pula dengan
niat tidak bergantung kepada manusia. Kemudian mereka membaca doa yang tidak
pernah dipetik daripada golongan salaf, iaitu para sahabat, Tabi’in dan tabi’
al-Tabi’in. Ia satu doa yang panjang, menyanggahi nas al-Quran dan sunnah serta
saling bercanggahan atau bertentangan makna…Perhimpunan (malam Nisfu Sya’ban)
seperti yang kita lihat dan dengar berlaku di sesetengah negara orang Islam
adalah bidaah dan rekaan semata-mata. Sepatutnya kita melakukan ibadah sekadar
yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan ialah dengan mengikuti perbuatan
salaf, segala keburukan itu adalah bidaah (rekaan) golongan selepas mereka
(khalaf). Setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap bidaah itu membawa
kepada kesesatan serta setiap yang sesat itu membawa ke neraka." –(Rujuk Fatwa Mu’asarah karya Dr. Yusuf
al-Qaradawi, jil. 1, ms. 382-383)
Kesimpulannya, dengan
adanya petunjuk dan penerangan daripada hadis-hadis Rasulullah Saw yang sahih
berkaitan tentang kemuliaan dan kelebihan bulan Sya’ban akan menambahkan lagi keghairahan untuk kita
melakukan ibadah sebagai perintis sebelum hadirnya bulan Ramadhan.