Tuesday 17 July 2012

SECEBIS KISAH...

Secebis Kisah...

Kisah ini terjadi ketika Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma didatangi seorang tokoh besar tabi’in yang bernama Thawus ibnu Kaisan. Apabila berkata Thawus ibnu Kaisan, “Sesungguhnya aku ingin menunaikan solat selepas Asar dua rakaat.” Maka berkata Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, “Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang kita bersolat dua rakaat selepas daripada ‘Asar.” Akan tetapi kata Thawus ibnu Kaisan, “Wallahi, sa-ushalli (Demi Allah, aku akan solat).” Maka Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma membacakan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam surah Al-Ahzab ayat 36 yang bermaksudnya:

Tidak layak bagi seorang mukmin dan mukminah itu, apabila telah datang ketetapan dari Allah dan Rasul, mereka memiliki pilihan selain daripada apa yang telah ditetapkan tersebut.”

Maka Thawus ibnu Kaisan menarik semula perkataannya.

Begitu juga dengan Sa’id ibnu al-Musayyib, seorang tabi’in yang besar, apabila menegur seorang lelaki yang menunaikan solat sehingga lebih dua rakaat sesudah solat subuh, maka beliau berkata kepada lelaki tersebut, “Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang kita daripada solat selepas daripada solat subuh.” Maka berkata lelaki ini, “Adakah Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menyiksaku kerana solatku?” Kata Sa’id ibnu al-Musayyib, “Allah Subhanahu wa Ta’ala akan siksa kamu kerana menyelisihi petunjuk Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.” Beliau lantas membacakan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:

“Maka hendaklah kamu menjauhi urusan-urusan yang menyelisihi petunjuknya dari petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam, dibimbangi penyelisihan tersebut akan membawa fitnah dan akan mendatangkan azab yang sangat-sangat pedih.”

Dua kisah di atas jelas menunjukkan kepada kita berkenaan sikap para sahabat dan tabi’in terdahulu dalam mendahulukan kalam dan sunnah nabi daripada kata-kata dan pandangan orang lain. Sewajarnya kita pada hari ini mencontohi mereka dalam memahami agama sesuai dengan perjalanan para sahabah, sesuai dengan perjalanan generasi yang Allah Subhanahu wa Ta’ala redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalanm surah At-Taubah ayat 100 yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya manusia-manusia yang mendahului kamu, generasi-generasi yang terawal yang baik lagi mulia dari kalangan Muhajirin dan Anshar, dan generasi yang mengikuti mereka dengan baik, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala redha kepada mereka, dan mereka redha kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.”

Akhirnya, renungilah apa yang diungkapkan oleh Imam agung yang amat kita kasihi iaitu Imam Syafi’i Rahimahullah yang sangat masyhur: “Telah berijma’ (bersepakat) seluruh umat Islam bahawa bagi sesiapa yang telah jelas baginya sunnah-sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, haram baginya untuk meninggalkan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam kerana perkataan-perkataan seseorang.”

Wallahu a’lam.

Monday 2 July 2012

 30 HADIS SOHIH BERKAITAN IBADAH PUASA


Assalamualaikum kepada sahabat-sahabat pembaca sekalian. 

Hari ini aku ingin berkongsi kepada sahabat-sahabat sekalian, himpunan hadis-hadis sohih Nabi s.a.w yang berkaitan tentang ibadah puasa. Himpunan ini adalah sebilangan daripada ratusan dan ribuan hadis-hadis nabi s.a.w yang membicarakan tentang puasa. 

Namun di sini aku hanya mengumpulkan sebanyak 30 hadis-hadis yang sohih, dengan harapan dapat dijadikan rujukan dan panduan kepada sahabat-sahabat sekalian untuk menjalani ibadah puasa dengan lebih sempurna selaras dengan apa yang dicontohkan oleh nabi s.aw.

 Sehubungan itu sekiranya ada kesilapan dan kesalahan dalam menukilkan hadis-hadis dibawah ini mohon diperbetulkan. Semoga usaha kecil ini ada manfaatnya. Wassalam.


 "Sebaik-baik petunjuk adalah daripada Nabi S.aw "



30 Hadis Sohih Berkaitan Puasa

Oleh : Ahmad Zambri Shah b. Mohamad Jeman


Rasulullah Shallallahu'alaihi wa Sallam bersabda:

1. “Jika seseorang itu terlupa sehingga dia makan dan minum, hendaklah dia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum.- (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/135) dan Muslim (1155)


2. “Sesungguhnya Allah memberi maaf kepada umatku kerana salah atau lupa dan kerana dipaksa.” -
(Hadis Riwayat at-Thahawi di dalam Syarhu Ma’anil Atsar (2/56), al-Hakim (2/198) Ibnu Hazm di dalam al-Ihkam (5/149) ad-Daruquthni (4/171) melalui dua jalan dari al-Auza’i, dari ‘Atha’ bin Abi Rabah, dari Ubaid bin ‘Umair, dari Ibnu ‘Abbas)


3. Do’a/zikir yang paling afdhal adalah do’a yang ma’tsur dari Rasulullah s.a.w, bahawa beliau jika berbuka mengucapkan,


ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوْقُ وَثَبَتَ اْلأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ


Yang bermaksud: “Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat, dan telah ditetapkan pahala, Insya Allah.”
-(Hadis Riwayat Abu Dawud (2/306), al-Baihaqi (4/239), al-Hakim (1/422), Ibnu Sunni (128) an-Nasa’i di dalam kitab ‘Amalul Yaum wal Lailah (269) ad-Daruquthni (2/185) dan dia berkata: “Sanadnya hasan”)



4. Dari Aisyah dan Ummu Salamah radhiallahu 'anhuma : “Nabi  s.a.w memasuki waktu subuh dalam keadaan junub kerana jima' dengan isterinya, kemudian ia mandi dan berpuasa.” - (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/123), Muslim (1109)




5. Rasulullah S.a.w bersabda : “Kalaulah tidak memberatkan umatku niscaya aku suruh mereka untuk bersiwak setiap kali wudhu”.- (Hadis Riwayat Bukhori (2/311), Muslim (252)


Rasulullah s.a.w  tidak mengkhususkan orang yang berpuasa ataupun yang lainnya, ini sebagai dalil bahawa siwak bagi orang yang berpuasa dan selainnya ketika setiap kali berwudhu’ dan solat. (Inilah pendapat al-Bukhari rahimahullah, demikian pula Ibnu Khuzaimah dan selain keduanya. (Lihat Fathul Bari (4/158), Shahih Ibnu khuzaimah (3/247), Syarhus Sunnah (6/298)




6. Pada awalnya, berbekam adalah merupakan salah satu pembatal puasa, namun kemudiannya ia dimansuhkan. Terdapat hadis sahih yang jelas dari Nabi s.a.w bahawa beliau berbekam ketika berpuasa. Ini adalah berdasarkan satu riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma: “Bahawasanya Nabi s.a.w pernah berbekam dalam keadaan sedang berpuasa.” - (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/155 – Fathul Bari), lihat “Nasikhul hadis wa Mansukhuhu” (334-338) karya Ibnu Syahin)




8. Merasai makanan adalah dibolehkan dengan syarat selagi mana tidak sampai memasuki tenggorokan (tekak dan salur makanan). Ini adalah berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma: “Tidak mengapa merasai cuka atau sesuatu yang lainnya dalam keadaaan sedang berpuasa selagi mana tidak sampai ke tenggorokan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari secara muallaq (4/154 – Fathul Bari), dimaushulkan (disambungkan/disebutkan sanadnya) oleh Ibnu Abi Syaibah (3/47), al-Baihaqi (4/261) melalui dua jalan. Hadis ini hasan, lihat “Taqliqut Taqliq” (3/151-152)




9. Dari Anas bin Malik radhiallahu 'Anhu berkata: “Aku pernah melakukan safar bersama Rasulullah s.a.w di bulan Ramadhan, orang yang berpuasa tidak mencela yang berbuka dan yang berbuka tidak mencela yang puasa.” - (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/163), Muslim (1118)




10. Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan qauluz zuur (perkataan dusta) dan mengamalkannya, Allah tidak memerlukan orang tersebut untuk meninggalkan makanan dan minumannya.” - (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/99)


11. Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah s.a.w bersabda: “Puasa bukanlah dari makan dan minum (semata), tetapi puasa itu menahan diri dari perkataan-perkataan yang tidak bermanfaat dan perkataan-perkataan yang kotor. Oleh kerana itu, jika ada orang yang mencelamu, katakanlah: “Aku sedang berpuasa, sesungguhnya aku sedang berpuasa”. - (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah (1996), al-Hakim (1/430-431). Sanadnya sahih) 




12. Rasulullah s.a.w pernah bersabda : “Ramai orang yang berpuasa, namun hanya mendapatkan lapar dan dahaga (dari puasanya).” - (Hadis Riwayat Ibnu Majah (1/539), ad-Darimi (2/221), ). Ahmad (2/441, 373), al-Baihaqi (4/270) dari jalan Said al-Maqbari dari Abu Hurairah. Sanadnya sahih) 




NIAT

13. : “Barangsiapa yang tidak berniat sebelum fajar untuk berpuasa, maka tidak ada puasa baginya”.- (Hadis Riwayat Abu Daud (2454), Ibnu Majah (1933), al-Baihaqi (4/202)



14. “Barangsiapa yang tidak berniat puasa pada malam harinya maka tidak ada puasa baginya”. - (Hadis Riwayat an-Nasa'i (4/196), al-Baihqi (4/202), Ibnu Hazm (6/162), dari jalan Abdur Razaq dari Ibnu Juraij dari Ibnu Syihab. Sanadnya sahih sekiranya tiada 'an 'Anah Ibnu Juraij, akan tetapi sahih dengan riwayat sebelumnya)



SAHUR

15. Dari Abdullah bin al-Harits dari seorang sahabat Rasulullah s.a.w  : Aku masuk menemui Nabi Shalallahu 'alaihi wa Sallam ketika dia makan sahur lalu beliau berkata (yang ertinya): “Sesungguhnya makan sahur adalah barokah yang Allah berikan pada kalian maka janganlah kalian tinggalkan”. - (Hadis Riwayat an-Nasa’i (4/145) dan Ahmad (5/270). Sanadnya Sahih)




16. Selain itu, dengan makan sahur, ia juga merupakan suatu tindakan untuk menyelisihi Ahlul Kitab kerana mereka tidak melakukan makan sahur. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w menamakannya sebagai “al-ghadaa’ al-Mubarak” (makanan penuh barokah) sebagaimana dalam dua hadis al-Irbath bin Sariyah dan Abi Darda' radhiallahu 'anhuma “Marilah menuju makan “al-ghadaa’ al-Mubarak” (makanan penuh barokah): yakni sahur.” (Hadis al-Irbath: diriwayatkan oleh Ahmad (4/126) dan Abu Daud (2/303)



17. Dari Abu Said al-Khudri radhiallahu 'anhu, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Sahur itu makanan yang barokah, janganlah kalian meninggalkannya walaupun hanya meneguk seteguk air, kerana Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yg sahur.”



18. Anas radhiallahu 'anhu meriwayatkan dari Zaid bin Tsabit radhiallahu 'anhu: “Kami makan sahur bersama Rasulullah  s.a.w, kemudian beliau solat, aku tanyakan (kata Anas): “Berapa lama jarak di antara azan dan sahur? Baginda menjawab: “Kira-kira sama seperti bacaan 50 ayat al-Qur'an.” - (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/118), Muslim (1097)



19. Rasulullah s.a.w bersabda : “Makan sahurlah kalian kerana dalam sahur ada barokah.” - (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/120), Muslim (1095) dari Anas radhiallahu ‘anhu) 



20. “Sahur adalah makanan yang barokah, janganlah kalian tinggalkan, walaupun hanya meminum seteguk air, kerana Allah dan Rasul-Nya memberi selawat kepada orang yang sahur”. - (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah (3/8), Ahmad (3/12,3/44) dari tiga jalan dari Abi Said al-Khudri. Sebahagian jalannya menguatkan yang lain)



21. Raslullah s.a.w bersabda: “Jika salah seorang kalian mendengar azan padahal gelas ada di tangannya, janganlah ia segera meletakkannya hingga memenuhi hajatnya.” - (Hadis Riwayat Abu Daud (235), Ibnu Jarir (3115), al-Hakim (1/426), al-Baihaqi (2/218), Ahmad (3/423), dari jalan Hamad dari Muhammad bin Amr dari Abi Salamah dari Abu Hurairah. Sanadnya hasan)


22. Daripada Abu Umamah radhiallahu 'anhu: “Telah dikumandangkan iqomah solat di mana ketika itu di tangan Umar masih ada gelas, dia berkata: “Boleh aku meminumnya ya Rasulullah? Rasulullah bersabda: Ya minumlah.” -
(Hadis Riwayat Ibnu Jarir (2/102) dari dua jalan dari Abu Umamah)
 

23. “Janganlah kalian mendahului Ramadhan dengan melakukan puasa satu atau dua hari sebelumnya kecuali seseorang telah rutin berpuasa maka berpuasalah.” - (Hadis Riwayat Muslim (573, Mukhtashar dengan mu'laqnya).



24. Dari Abi Hurairah radhiallahu 'anhu dari Nabi s.a.w bersabda (yang erti nya): “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh iman dan ihtisab maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” - (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/99), Muslim (759)



25. Rasulullah s.a.w: “Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam bulan Ramadhan, dan semua orang muslim yang berdo'a akan dikabulkan do'anya.” - (Hadis Riwayat al-Bazzar (3142), Ahmad (2/254) dari jalan A'mas, dari Abu Shalih dari Jabir, diriwayatkan oleh Ibnu Majah (1643) darinya dengan ringkas dari jalan lain, hadits sahih. Do'a yang dikabulkan itu adalah ketika berbuka - lihat “Misbahuh Azzujajah” (no. 604) karya al-Bushiri)



26. Dari Amr bin Murrah al-Juhani Radhiallahu 'anhu berkata: Datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w kemudian berkata: “Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang hak untuk diibadahi kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah s.a.w, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku melaksanakan puasa Ramadhan dan solat tarawih di malam harinya, termasuk orang yang manakah aku? Beliau menjawab: “Termasuk dari shidiqin dan syuhada”. - (Hadis Riwayat Ibnu Hibban (no. 11 di dalam Zawaidnya) sanadnya sahih) 




27. “Tidaklah ada seorang hamba yang puasa di jalan Allah kecuali akan Allah jauhkan dia (kerana puasanya) dari neraka sejauh tujuh puluh musim.” - (Hadis Riwayat al-Bukhori (6/35), Muslim (1153) dari Abu Sa'id al-Khudri, ini adalah lafadh Muslim. Sabda Rasulullah Sholallahu 'alaihi wasalam, “70 musim” adalah “perjalanan 70 tahun”, demikian yang disebutkan di dalam “Fathul Bari” (6/48)



28. “Semua amalan bani Adam untuknya kecuali puasa (pahalanya tidak terbatas), kerana puasa itu untuk Aku dan Aku akan membalasnya, puasa adalah perisai, jika salah seorang kalian sedang berpuasa janganlah memperkatakan perkataan-perkataan yang keji dan berteriak-teriak, jika ada orang yang mencercanya atau memeranginya, ucapkankanlah: “Aku orang yang sedang berpuasa (ucapan dengan lisan), demi Dzat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada bau minyak misk (kasturi), orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan, (iaitu) jika berbuka dia gembira, jika bertemu dengan Rabbnya dia gembira kerana puasa yang dia lakukan.” - (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/88), Muslim (no. 1151) ini lafaz al-Bukhari)



29. Dari Sahl bin Sa'ad radhiallihu 'anhu, dari Nabi s.a.w bersabda (yang ertinya): “Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan rayyan, orang-orang yang berpuasa akan memasukinya di hari kiamat nanti dari pintu tersebut, tidak ada orang selain mereka yang memasukinya. Jika telah masuk orang terakhir yang berpuasa, ditutuplah pintu tersebut. Barangsiapa yang masuk akan minum, dan barang siapa yang minum tidak akan merasa haus untuk selamanya.” - (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/95). Muslim (1152). Tambahan akhir terdapat di dalam riwayat Ibnu Khuzhaimah dalam kitab Sahihnya (1903)



30. Dalil-dalil yang menunjukkan sunnahnya puasa enam hari di bulan Syawal:
“Dari Abi Ayub al-Ansari radiallahu ‘anhu: Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa berpuasa ramadan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti puasa setahun”. -
(H/R Muslim (1164). Ibn Majah (1612/1716). Imam Ahmad dalam musnadnya (2/204-5/417/419). Abu Daud (2433). Tirmizi (759). Nasaii dalam As-Sunan al-Kubra (2/2862). At-Thayalisi dalam Al-Musnad (hlm. 81). Abdurrazzak dalam Al-Musannaf (7918, 7919, 7921). Ibnu Syaibah dalam Al-Musannaf (3/97). At-Tahawi dalam Musykil al-Atsar (2238, 2340,2341,2345). Al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra (4/292), H/R Ahmad 417. Muslim 822 (Kitabus Siam) no. 1164. Abu Daud. 2/812-813. (Kitabus Siam). No 2433. At-Tirmizi.(Bab As-Siam) no 756 Turmizi berkata: Hadis hasan sahih. Ibnu Majah 3/206-207 (Kitabus Siam) no 1716)

Tuesday 26 June 2012

SYAABAN: PERINTIS MENUJU RAMADHAN


Maha suci Allah yang telah mengurniakan kelebihan kepada para hambanya dalam bulan-bulan tertentu. Maka kelebihan yang dikurniakan itu mestilah direbut, dalam usaha untuk kita meningkatkan kesungguhan dalam beramal. Sepertimana kelebihan dan kemuliaan pada bulan Rejab yang telahpun berlalu, kini kita berada di bulan Sya’ban yang Allah berikan kelebihan dan kemuliaan yang amat bermakna bagi hambanya yang ikhlas.
Bulan Sya’ban adalah bulan diangkatnya amal-amal perbuatan di sisi Allah. Pada bulan Sya’ban juga adalah bulan yang padanya Rasulullah Saw memperbanyakkan ibadah puasa sunnah berbanding bulan-bulan selainnya. Usamah B. Zaid pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada suatu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Sya’ban?” Rasulullah menjawab: “Sya’ban adalah bulan yang terletak di antara Rejab dan Ramadhan yang sering dilupakan oleh manusia. Ia adalah bulan yang di dalamnya amal-amal perbuatan akan diangkat ke sisi Tuhan semesta alam. Maka aku lebih suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (Hadis Sahih Riwayat Ahmad, 85/36, no. 21753. An-Nasaa’i, 8/59, no. 2317.)
Dalam satu riwayat yang lain ‘Aisyah Radiallahu a’nha pernah mengkhabarkan dengan katanya: “Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah Saw berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah mengetahui beliau lebih banyak berpuasa sunnah selain dari bulan Sya’ban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/78, no. 1833)

Melalui hadis yang disebutkan diatas, dapatlah diambil hikmah dan faedah iaitu dengan  memperbanyakkan puasa di bulan Sya’ban adalah sebagai salah satu bentuk persiapan bagi kita sebelum memasuki bulan Ramadhan, iaitu bulan yang padanya umat Islam akan menunaikan keawajiban berpuasa selama sebulan penuh. Justeru, dengan membiasakan diri berpuasa sunnah di bulan Sya’ban mampu menjadikan tubuh badan merasa ringan untuk berpuasa penuh di bulan Ramadhan.

Malam Nisfu Sya’ban
Apabila memperkatakan tentang bulan Sya’ban juga, maka sudah tentu tarikh 15 Sya’ban atau lebih dikenali sebagai Nisfu Sya’ban akan ditunggu-tunggu oleh kebanyakan umat Islam. Ini kerana pada malam Nisfu Sya’ban dianggap sebagai satu malam yang  memiliki kemuliaan. Terdapat satu hadis yang memperkatakan tentang malam Nisfu Syaaban, iaitu riwayat yang diterima daripada Mu’az bin Jabal r.a yang berbunyi:
"Allah memerhatikan kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Sya’ban lalu Dia memberi keampunan kepada semua makhluk-Nya kecuali orang musyrik dan orang yang suka bergaduh."(Hadis riwayat Ibn Abu ‘Ashim di dalam Kitab al-Sunnah, Ibn Hibban di dalam Sahihnya dan al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid.)

Dalam hadis ini dapatlah difahami bahawa sekiranya kita ingin termasuk dalam golongan orang yang diberi keampunan oleh Allah pada malam Nisfu Sya’ban maka kita hendaklah menjauhi perbuatan syirik dan suka bergaduh.
Namun demikian menganjurkan ataupun mengkhususkan amalan-amalan tertentu pada malam Nisfu Sya’ban, tidaklah disebut secara khusus dalam hadis nabi. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi: "Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca doa tertentu dan mendirikan solat tertentu seperti yang kita lihat di sesetengah negara umat Islam. Bahkan di sesetengah negara, orang ramai berhimpun pada malam itu selepas solat Maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yassin dan mendirikan solat 2 rakaat dengan niat panjang umur dan dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia. Kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik daripada golongan salaf, iaitu para sahabat, Tabi’in dan tabi’ al-Tabi’in. Ia satu doa yang panjang, menyanggahi nas al-Quran dan sunnah serta saling bercanggahan atau bertentangan makna…Perhimpunan (malam Nisfu Sya’ban) seperti yang kita lihat dan dengar berlaku di sesetengah negara orang Islam adalah bidaah dan rekaan semata-mata. Sepatutnya kita melakukan ibadah sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan ialah dengan mengikuti perbuatan salaf, segala keburukan itu adalah bidaah (rekaan) golongan selepas mereka (khalaf). Setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap bidaah itu membawa kepada kesesatan serta setiap yang sesat itu membawa ke neraka."(Rujuk Fatwa Mu’asarah karya Dr. Yusuf al-Qaradawi, jil. 1, ms. 382-383)
Kesimpulannya, dengan adanya petunjuk dan penerangan daripada hadis-hadis Rasulullah Saw yang sahih berkaitan tentang kemuliaan dan kelebihan bulan Sya’ban akan  menambahkan lagi keghairahan untuk kita melakukan ibadah sebagai perintis sebelum hadirnya bulan Ramadhan.