Tuesday 26 June 2012

SYAABAN: PERINTIS MENUJU RAMADHAN


Maha suci Allah yang telah mengurniakan kelebihan kepada para hambanya dalam bulan-bulan tertentu. Maka kelebihan yang dikurniakan itu mestilah direbut, dalam usaha untuk kita meningkatkan kesungguhan dalam beramal. Sepertimana kelebihan dan kemuliaan pada bulan Rejab yang telahpun berlalu, kini kita berada di bulan Sya’ban yang Allah berikan kelebihan dan kemuliaan yang amat bermakna bagi hambanya yang ikhlas.
Bulan Sya’ban adalah bulan diangkatnya amal-amal perbuatan di sisi Allah. Pada bulan Sya’ban juga adalah bulan yang padanya Rasulullah Saw memperbanyakkan ibadah puasa sunnah berbanding bulan-bulan selainnya. Usamah B. Zaid pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada suatu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Sya’ban?” Rasulullah menjawab: “Sya’ban adalah bulan yang terletak di antara Rejab dan Ramadhan yang sering dilupakan oleh manusia. Ia adalah bulan yang di dalamnya amal-amal perbuatan akan diangkat ke sisi Tuhan semesta alam. Maka aku lebih suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (Hadis Sahih Riwayat Ahmad, 85/36, no. 21753. An-Nasaa’i, 8/59, no. 2317.)
Dalam satu riwayat yang lain ‘Aisyah Radiallahu a’nha pernah mengkhabarkan dengan katanya: “Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah Saw berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah mengetahui beliau lebih banyak berpuasa sunnah selain dari bulan Sya’ban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/78, no. 1833)

Melalui hadis yang disebutkan diatas, dapatlah diambil hikmah dan faedah iaitu dengan  memperbanyakkan puasa di bulan Sya’ban adalah sebagai salah satu bentuk persiapan bagi kita sebelum memasuki bulan Ramadhan, iaitu bulan yang padanya umat Islam akan menunaikan keawajiban berpuasa selama sebulan penuh. Justeru, dengan membiasakan diri berpuasa sunnah di bulan Sya’ban mampu menjadikan tubuh badan merasa ringan untuk berpuasa penuh di bulan Ramadhan.

Malam Nisfu Sya’ban
Apabila memperkatakan tentang bulan Sya’ban juga, maka sudah tentu tarikh 15 Sya’ban atau lebih dikenali sebagai Nisfu Sya’ban akan ditunggu-tunggu oleh kebanyakan umat Islam. Ini kerana pada malam Nisfu Sya’ban dianggap sebagai satu malam yang  memiliki kemuliaan. Terdapat satu hadis yang memperkatakan tentang malam Nisfu Syaaban, iaitu riwayat yang diterima daripada Mu’az bin Jabal r.a yang berbunyi:
"Allah memerhatikan kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Sya’ban lalu Dia memberi keampunan kepada semua makhluk-Nya kecuali orang musyrik dan orang yang suka bergaduh."(Hadis riwayat Ibn Abu ‘Ashim di dalam Kitab al-Sunnah, Ibn Hibban di dalam Sahihnya dan al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid.)

Dalam hadis ini dapatlah difahami bahawa sekiranya kita ingin termasuk dalam golongan orang yang diberi keampunan oleh Allah pada malam Nisfu Sya’ban maka kita hendaklah menjauhi perbuatan syirik dan suka bergaduh.
Namun demikian menganjurkan ataupun mengkhususkan amalan-amalan tertentu pada malam Nisfu Sya’ban, tidaklah disebut secara khusus dalam hadis nabi. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi: "Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca doa tertentu dan mendirikan solat tertentu seperti yang kita lihat di sesetengah negara umat Islam. Bahkan di sesetengah negara, orang ramai berhimpun pada malam itu selepas solat Maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yassin dan mendirikan solat 2 rakaat dengan niat panjang umur dan dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia. Kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik daripada golongan salaf, iaitu para sahabat, Tabi’in dan tabi’ al-Tabi’in. Ia satu doa yang panjang, menyanggahi nas al-Quran dan sunnah serta saling bercanggahan atau bertentangan makna…Perhimpunan (malam Nisfu Sya’ban) seperti yang kita lihat dan dengar berlaku di sesetengah negara orang Islam adalah bidaah dan rekaan semata-mata. Sepatutnya kita melakukan ibadah sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan ialah dengan mengikuti perbuatan salaf, segala keburukan itu adalah bidaah (rekaan) golongan selepas mereka (khalaf). Setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap bidaah itu membawa kepada kesesatan serta setiap yang sesat itu membawa ke neraka."(Rujuk Fatwa Mu’asarah karya Dr. Yusuf al-Qaradawi, jil. 1, ms. 382-383)
Kesimpulannya, dengan adanya petunjuk dan penerangan daripada hadis-hadis Rasulullah Saw yang sahih berkaitan tentang kemuliaan dan kelebihan bulan Sya’ban akan  menambahkan lagi keghairahan untuk kita melakukan ibadah sebagai perintis sebelum hadirnya bulan Ramadhan.

No comments:

Post a Comment