Secebis
Kisah...
Kisah ini terjadi ketika Ibnu ‘Abbas
radhiyallahu ‘anhuma didatangi seorang tokoh besar tabi’in yang bernama Thawus
ibnu Kaisan. Apabila berkata Thawus ibnu Kaisan, “Sesungguhnya aku ingin
menunaikan solat selepas Asar dua rakaat.” Maka berkata Ibnu ‘Abbas
radhiyallahu ‘anhuma, “Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang
kita bersolat dua rakaat selepas daripada ‘Asar.” Akan tetapi kata Thawus ibnu
Kaisan, “Wallahi, sa-ushalli (Demi Allah, aku akan solat).” Maka Ibnu ‘Abbas
radhiyallahu ‘anhuma membacakan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam surah
Al-Ahzab ayat 36 yang bermaksudnya:
“Tidak layak
bagi seorang mukmin dan mukminah itu, apabila telah datang ketetapan dari Allah
dan Rasul, mereka memiliki pilihan selain daripada apa yang telah ditetapkan
tersebut.”
Maka Thawus ibnu Kaisan menarik semula
perkataannya.
Begitu juga dengan Sa’id ibnu al-Musayyib, seorang
tabi’in yang besar, apabila menegur seorang lelaki yang menunaikan solat
sehingga lebih dua rakaat sesudah solat subuh, maka beliau berkata kepada
lelaki tersebut, “Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang kita
daripada solat selepas daripada solat subuh.” Maka berkata lelaki ini, “Adakah
Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menyiksaku kerana solatku?” Kata Sa’id ibnu
al-Musayyib, “Allah Subhanahu wa Ta’ala akan siksa kamu kerana menyelisihi
petunjuk Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.” Beliau lantas membacakan firman
Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:
“Maka
hendaklah kamu menjauhi urusan-urusan yang menyelisihi petunjuknya dari
petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam, dibimbangi penyelisihan
tersebut akan membawa fitnah dan akan mendatangkan azab yang sangat-sangat
pedih.”
Dua kisah di atas jelas
menunjukkan kepada kita berkenaan sikap para sahabat dan tabi’in terdahulu
dalam mendahulukan kalam dan sunnah nabi daripada kata-kata dan pandangan orang
lain. Sewajarnya kita pada hari ini mencontohi mereka dalam memahami agama
sesuai dengan perjalanan para sahabah, sesuai dengan perjalanan generasi yang
Allah Subhanahu wa Ta’ala redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah
Subhanahu wa Ta’ala. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalanm surah
At-Taubah ayat 100 yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya manusia-manusia
yang mendahului kamu, generasi-generasi yang terawal yang baik lagi mulia dari
kalangan Muhajirin dan Anshar, dan generasi yang mengikuti mereka dengan baik,
sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala redha kepada mereka, dan mereka redha
kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.”
Akhirnya, renungilah apa yang diungkapkan oleh
Imam agung yang amat kita kasihi iaitu Imam Syafi’i Rahimahullah yang sangat
masyhur: “Telah berijma’ (bersepakat) seluruh umat Islam bahawa bagi sesiapa
yang telah jelas baginya sunnah-sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,
haram baginya untuk meninggalkan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam
kerana perkataan-perkataan seseorang.”
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment